Selasa, 11 Maret 2014

Fahdan Nauval 02.09
Pendidikan menurut Islam mempunyai kedudukan yang tinggi. Ini dibuktikan dengan wahyu pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang menyuruh bagainda membaca dalam keadaan beliau yang ummi [1]. Di samping itu, wahyu ini juga mengandungi suruhan belajar mengenali Allah s.w.t., memahami fenomena alam serta mengenali diri yang merangkumi prinsip-prinsip aqidah, ilmu dan amal. Ketiga-tiga prinsip ini merupakan teras kepada falsafah pendidikan Islam [2].
Definisi pendidikan juga kerapkali menampakkan perbezaan dalam penekanan dan konsepnya di kalangan sarjana Barat. Ahli falsafah Amerika, John Dewey menyatakan bahawa pendidikan adalah “The process of forming fundamental dispositions, intellectual and emotional forwards nature and fellow men.” [3]
Prof. H. Hone pula berpendapat: “Education is the eternal process of superior adjustment of the physically developed, free conscious, human beings to God as manifested in the intellectual, emotional and relational environment of men.” [4]
Ahli falsafah Yunani yang terkenal, Plato mengatakan pendidikan bererti memberi keindahan dan kesempurnaan yang mungkin diberikan kepada jasmani dan rohani [5]
Dilihat dari takrif yang diberikan Srajana Barat, difahamkan bahawa pendidikan itu hanya sebagai proses melatih akal, jasmanu dan moral supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik. Manakala menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsept yang lebih luar atau syumul.
Prof. Hassan Langgulung (1987) menegaskan pendidikan sebagai merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu yang lain; dan latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi memperoleh kemahiran, sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan oleh orang lain. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.
Dr. Yusuf al-Qardawi (1980) pula mendefinisikan pendidikan sebagai pendidikan bagi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan.
Kesimpulannya, pendidikan menurut Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Konsep Pendidikan

Pendidikan berakar umbi daripada perkataan didik yang bererti pelihara, ajar dan jaga. Setelah dijadikan analogi, pendidikan boleh dihuraikan sebagai satu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan dan pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku dan dapat mengekalkan nilai-nilai budaya di kalangan masyarakat[6].

Pendidikan dalam Bahasa Arab

Walaupun ketiga-tiga istilah (di bawah) merujuk kepada pendidikan, ‘tarbiyah’ adalah yang tepat dan sering digunakan [7]. Ini adalah kerana perkataan ‘tarbiyah’ menurut sarjana Pendidikan Islam berasal dari “rabb” yang merujuk kepada Allah s.w.t sebagai pendidik umat manusia [8][9]

Ta’lim

Firman Allah s.w.t. bermaksud :
“Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada Malaikat lalu ia berfirman: Terangkanlah kepada aku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.” [10]

Tarbiyah

Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“...dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata), Wahai Tuhanku, cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku sesama kecil.”

Ta’dib

Hadith Rasulullah s.a.w.
“Allah mendidikku, maka Dia memberikan kepadaku sebaik-baik pendidikan.”

Falsafah Pendidikan Islam

Falsafah merupakan kompenan yang paling utama dan tertinggi dalam bidang pendidikan kerana sikap manusia yang hendak dibentuk adalah bergantung kepada falsafah yang digariskan melalui pendidikan.
Dr. Al-Syaibani (1979) mentakrifkan falsafah pendidikan Islam sebagai usaha perlaksanaan teori dan “method” di bidang pengalaman manusia dipanggil pendidikan. Oleh yang demikian, falsafah pendidikan Islam merangkumi aspek-aspek matlamat, kandungan dan dasar pendidikan islam.

Bidang Pendidikan Islam

  • al-imaniyah (pendidikan iman)
  • al-khuluqiyah (pendidikan akhlak)
  • al-jismiyah (pendidikan jasmani)
  • al-aqiliyah (pendidikan mental)
  • al-nafsiyah (pendidikan jiwa)
  • al-ijlimaiyah (pendidikan sosial)
  • al-jinisiyah (pendidikan seks)

Institusi Pendidikan Islam

Peringkat awal Islam

Tahap ini merangkumi pendidikan pada zaman Rasulullah (609-632M) dan para khulafah al-Rasyidih (632-661M).

Dar al-Arqam

Rumah merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam mula berkembang di Mekah. Rasulullah menggunakan rumah Arqam bin Abi al-Arqam di al-Safa sebagai tempat pertemuan dan pengajaran dengan para sahabat[11][12]. Bilangan kaum Muslim yang hadir pada peringkat awal adalah terlalu kecil, tetapi makin bertambah sehingga menjadi 38 orang yang terdiri daripada golongan bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba sahaya.
Di Dar al-Arqam, Rasulullah mengajar wahyu yang telah diterimanya kepada kaum Muslim. Baginda juga membimbing mereka menghafal, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat suci yang diturunkan kepadanya.

Masjid

Fungsi masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam; tempat menyelesaikan masalah individu dan masyarakat; tempat menerima duta-duta asing; tempat pertemuan pemimpin-pemimpin Islam; tempat bersidang; dan madrasah bagi kanak-kanak mempelajari ilmu agama & fardu ain. [13]
Selepas berhijrah ke Madinah, pendidikan Islam mula berpusat di masjid-masjid dan Masjid Quba’ merupakan masjid pertama yang dijadikan Rasulullah sebagai institusi pendidikan. Di dalam masjid, baginda mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoaljawab berkaitan urusan agama dan kehidupan sehari-harian.
Semakin luas wilayah-wilayah yang ditakluk Islam, semakin meningkat bilangan masjid yang didirikan. Di antara masjid yang dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pengetahuan ialah Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi.

Suffah

Al-Suffah merupakan ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid. Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara teratur dan sistematik. Contohnya Masjid Nabawi yang mempunyai suffah yang digunakan untuk majlis ilmu.

Kuttab

Ia ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi dan bertujuan memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat rendah. Sungguhpun begitu, institusi tersebut tidak mendapat perhatian dari masyarakat Arab kerana sebelum kedatangan Islam, hanya 17 orang Quraisy yang tahu membaca dan menulis [14] Kemahiran-kemahiran asas seperti membaca dan munlis dilakukan oleh kebanyakan guru-guru yang mengajar secara sukarela. Selain itu, Rasulullah juga pernah memerintkah tawanan perang Badar yang berkebolehan supaya mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga mereka tahu membaca dan menulis sebagai syarat menebus diri.

Peringkat kedua

Peringkat ini merangkumi zaman kerajaan Umaiyyah (662-750M) dan Abbaisiyah (751-1258M). Pada zaman ini, institusi pendidikan yang awal seperti masjid dan kuttab terus dikembangkan hasil dorongan dan galakan dari para khalifah yang memerintah. Selain itu, institusi pendidikan tinggi dan lanjutan mula diperkenalkan sehingga melahirkan ramai golongan sarjana dan cerdikpandai Islam dalam pelbagai ilmu.

Manazil ulama & istana

Terdapat beberapa rumah ulama yang digunakan sebagai tempat pertemuan untuk majlis-majlis ilmu seperti rumah Ibnu Sina, Muhammad Ibnu Tahir Bahrom dan Abu Sulayman. Di samping itu istana khalifah turut dijadikan tempat perkembangan ilmu. Sebagai contohKhalifah Muawiyah Ibnu Abi Sufian yang mengundang ulama dan cerdik pandai untuk membincangkan sejarah peperangan, sejarah raja-raja Parsi, sejarah bangsa Arab dan sistem pemerintahan negara [15]

Perpustakaan

Perpustakaan secara umum boleh dibahagikan kepada tiga:
Perpustakaan Umum
Perpustakaan umum ialah perpustakaan yang didirikan untuk kegunaan orang ramai. Perpustakaan umum pertama didirikan oleh Khalifah Harun al-Rasyidin di Kota Baghdad dan dikenali sebagai Baitul Hikmah. Ia berfungsi sebagai gedung buku yang memuatkan buku-buku dan penulisan pelbagai bahasa seperti bahasa Yunani, Parsi, Hindu, Latin dan sebagainya.
Perpustakaan Semi Umum
Ia kebiasaannya kepunyaan khalifah atau raja-raja yang didirikan di dalam istana. Perpustakaan ini tidak dibuka kepada orang ramai tetapi hanya terbuka kepada golongan-golongan tertentu sahaja yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat. Umpamanya kerajaan Fatimiyah telah mendirikan perpustakaan terbesar di istana Kaherah untuk menyaingi perpustakaan khalifah-khalifah Baghdad
Perpustakaan Khusus
Ia merupakan perpustakaan persendirian yang tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perpustakaan ini melainkan empunya perpustakaan. Ia biasanya dibina oleh ulama dan sasterawan di rumah masing-masingContohnya, Perpustakaan Hunain Ibnu Ishaq.

Madrasah

Sekolah-sekolah atau madrasah mula didirikan sebagai mengantikan masjid-masjid yang sudah tidak dapat menampung keperluan pendidikan dari segi ruang dan kelengkapan pembelajaran. Madrasah Baihaqiyah merupakan madrasah pertama didirikan oleh penduduk Naisabur [16]
Description: Pendidikan Menurut Islam
Reviewer: Fahdan Nauval
Rating: 4.0
ItemReviewed: Pendidikan Menurut Islam

Tidak ada komentar: